|
|
Berita Utara
Lemang Pelbagai Rasa Tarik Perhatian Orang Ramai
POKOK SENA, 15 Ogos (Bernama) -- Kepelbagaian jenis lemang yang disediakan oleh Mohd Khairul Nisam Md Ali, seperti lemang pulut hitam, lemang jagung dan lemang pulut susu menyebabkan lemang yang diusahakan menjadi perhatian ramai.
Selain itu, Mohd Khairul, 36, juga turut membuat lemang tepung, durian dan ubi jika terdapat tempahan daripada orang ramai yang mahukannya untuk dijadikan juadah istimewa pada hari raya Aidilfitri.
Sejak memulakan perniagaan pada 1997, dia kini boleh berbangga kerana mempunyai pelanggan setia yang mahu merasai keenakan dan kelembutan lemang yang disediakannya.
Gerainya yang terletak di Batu 10, Jalan Langgar-Pokok Sena dekat sini menjadi tumpuan ramai kerana keistimewaan lemang tersebut berikutan rasanya yang enak dan menepati cita rasa orang ramai malah lemangnya juga turut masak dengan sempurna.
"Teknik kawalan api yang membuatkan lemang saya ini masak sepenuhnya. Ramuan yang saya hasilkan seperti menggunakan 'pulut siam' dan santan kelapa asli menjadikan lemang itu berkualiti," katanya kepada Bernama di sini.
-- BERNAMA
|
|
|
|