|
|
Berita Sabah
Kerja Baik Pulih 64 Rumah Nelayan Daif Di Tawau Dimulakan Selepas Hari Raya
TAWAU, 10 Ogos (Bernama) -- Kerja membaik pulih 64 buah rumah yang daif milik nelayan miskin di kawasan Parlimen Tawau dengan kos kira-kira RM768,000 akan dimulakan selepas Hari Raya Aidilfitri, kata Pembantu Menteri Kewangan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.
Tawfiq, yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Tawau, berkata peruntukan daripada kerajaan persekutuan di bawah program baik pulih rumah nelayan telahpun diterima dan proses pelaksanaannya akan diurus oleh Persatuan Nelayan Kawasan Tawau (PNK).
"Kita ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana telah memberi peruntukan melalui dana nelayan untuk membaiki rumah nelayan yang daif ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Persatuan Perikanan Tawau dan PNK di sini hari ini.
Tawfiq berkata jika masih ada keperluan, pihaknya akan mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi mendapatkan peruntukan namun perkara itu tertakluk kepada kecukupan dana sedia ada.
Katanya projek yang bakal menyusul kelak ialah projek bina baru rumah nelayan miskin yang rumah mereka terlalu uzur dan tidak boleh dibaik pulih lagi.
-- BERNAMA
|
|
|
|