|
|
Berita Sabah
Sambutan Aidilfitri Muram, Rumah Atas Air Rebah Ke Laut
SANDAKAN, 10 Ogos (Bernama) -- Hasrat sebuah keluarga untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di rumah baru mereka tidak kesampaian apabila rumah atas air yang mereka diami di Kampung Lupak Meluas Laut dekat sini rebah ke dalam laut.
Kejadian berlaku kira-kira 9.30 malam semalam, ketika Lehon Maddhingal, 46, bersama isteri dan anaknya berada di dalam rumah yang diperoleh menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR).
Keseluruhan struktur rumah atas air itu, yang baru sebulan didiami Lehon sekeluarga, rebah ke dalam laut setelah tiangnya tumbang.
Lehon berkata sebelum kejadian, dia, isteri dan tiga anaknya sedang tidur, manakala seorang lagi anak lelakinya yang berusia 15 tahun menonton televisyen.
Katanya secara tiba-tiba, dia merasakan rumah itu bergerak ke hadapan dan kemudian rebah ke dalam laut yang ketika itu air surut pada paras lutut.
-- BERNAMA
|
|
|
|