|
|
Berita Timur
Pasangan Suami Isteri Terima Anugerah Bomba
MARANG, 3 Julai (Bernama) -- Pengalaman bertugas selama 28 tahun sebagai anggota bomba dianggap berbaloi buat sepasang suami isteri yang berkongsi kegembiraan setelah masing-masing mendapat kejutan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang jabatan tersebut bagi peringkat negeri tahun 2011 Selasa.
Sharudin Safar, 48, yang berkhidmat di bahagian Logistik di Akademi Bomba Wakaf Tapai di sini dan isterinya Rozizah Abni Hajar, 43, yang bertugas sebagai Pegawai Perhubungan di Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri menerima anugerah itu daripada Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.
Sharudin ketika ditemui berkata beliau amat terharu apabila dipilih untuk menerima anugerah buat kali kedua manakala isterinya menerima untuk kali ketiga.
Malah kenangan manisnya menerima anugerah itu turut dikongsi dan diterima bersama isterinya buat kali pertama hari ini.
Jelas bapa kepada empat orang anak ini, walaupun isterinya berpangkat pegawai namun ia tidak menghalang dan melemahkan semangat beliau untuk memotivasikan dalam bekerja sebaliknya menjadikan itu sebagai cabaran untuk lebih maju dalam kerjaya.
-- BERNAMA
|
|
|
|