|
|
Berita Utara
Perak Terpaksa Lupakan Hasrat Raih Tiga Emas Acara Gimrama Pada Sukma 2012
IPOH, 29 Jun (Bernama) -- Kontinjen Perak terpaksa melupakan hasrat untuk meraih tiga pingat emas dalam sukan gimrama pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang berikutan had umur kelayakan menyertai acara itu diturunkan kepada bawah 15 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata kontinjen negeri itu pada asalnya mensasarkan tiga pingat emas menerusi acara itu kerana had umur kelayakan ditetapkan bawah 18 tahun.
"Pada masa ini, kita mempunyai tiga atlet gimrama berusia 16 tahun yang sedang menyinar dan mampu menyumbang emas kepada negeri," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Perak ke Sukma Pahang yang bermula 1 Julai ini.
Beliau berkata pasukan negeri itu juga menggugurkan penyertaan dalam acara angkat berat wanita dan gimnastik selepas mendapati prestasi atlet dalam kedua-dua sukan berkenaan tidak melepasi kelayakan.
Katanya pada temasya kali ini, Perak akan menghantar seramai 384 atlet dan 105 pegawai yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Puhat Nayan.
-- BERNAMA
|
|
|
|