|
|
Berita Selatan
APMM Tahan Kapal Berlabuh Tanpa Kebenaran Di Tanjung Piai
JOHOR BAHARU, 11 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Selatan menahan sebuah kapal dagang kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, dekat Pontian, dua hari lepas.
Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata MV Euro Max yang berdaftar di Monrovia, Liberia dikesan melakukan kesalahan berkenaan pada pukul 1 petang di kedudukan 3.8 batu nautika Timur Tanjung Piai.
"Kapal itu dikesan oleh bot laju APMM yang sedang melakukan rondaan rutin di perairan Selat Melaka. Hasil pemeriksaan mendapati kapten kapalnya gagal memaklumkan ketibaan kapal serta gagal membayar dius api," katanya menerusi satu kenyataan, di sini, Isnin.
Adon berkata kapal berkenaan membawa 24 krew warganegara Filipina, Jerman dan Slovenia yang berumur antara 22 hingga 63 tahun.
"Pemilik kapal boleh didakwa mengikut Seksyen 449 Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 kerana gagal membayar dius api dan gagal memaklumkan ketibaan kapal dalam perairan Malaysia," katanya.
-- BERNAMA
|
|
|
|