|
|
Berita Sabah
Kerjasama JHEAINS Dengan Jakim Halang Kemasukan Buku
TAWAU, 25 Mei (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini serta beberapa agensi lain akan menghalang kemasukan dan pengedaran buku 'Allah, Kebebasan dan Cinta' ke negeri ini, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nasir Tun Sakaran.
Beliau berkata buku karangan Irshad Manji, seorang pendokong lesbian, gay, biseksual dan transeksual itu, yang bertentangan dengan ajaran Islam, amat berbahaya kepada umat Islam terutama generasi muda kerana boleh memesongkan akidah.
"Bagi mengelak terpengaruh, masyarakat Islam tidak wajar memiliki buku atau membaca buku tersebut," katanya kepada pemberita selepas menutup kursus tiga hari 'Training of Trainer' (TOT) Pendakwah anjuran Jakim Cawangan Sabah, melibatkan 40 tenaga pendakwah Jakim dan guru kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sini Jumaat.
Nasir yang juga menteri bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di Sabah berkata Jakim Sabah akan turun padang untuk memberi penjelasan kepada masyarakat Islam di negeri ini mengenai fahaman songsang ditulis dalam buku berkenaan.
-- BERNAMA
|
|
|
|