|
|
Berita Utara
Majlis Bandaraya Alor Setar Hadapi Cukai Pintu Tertunggak RM22 Juta
ALOR SETAR, 25 Mei (Bernama) -- Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mempunyai jumlah tunggakan cukai pintu yang tidak dilunaskan pemilik rumah di sekitar bandar raya ini berjumlah kira-kira RM22 juta.
Ketua Bahagian Hasil MBAS, Azalina Abdul Rahman berkata disebabkan sikap pemilik rumah yang masih gagal melunaskan tunggakan cukai pintu tersebut, pihaknya menjalankan operasi menyita rumah yang mempunyai tunggakan cukai lebih lima tahun.
"Operasi hari ini melibatkan sembilan buah rumah yang mempunyai tunggakkan lebih dari lima tahun walaupun jumlah tunggakannya tidak melebihi RM1,000," katanya kepada pemberita selepas operasi di sembilan rumah di Taman Bersatu dan Taman Desa damai di sini Jumaat.
Beliau berkata sebelum ini pemilik rumah terlibat telah diberi notis pada 23 Mac lalu namun mereka tetap berdegil dan enggan membuat pembayaran di pejabat dan kaunter MBAS yang disediakan di beberapa tempat.
Katanya MBAS terpaksa menyita tiga rumah (dua rumah penghuninya tiada di rumah dan sebuah kosong) manakala dua rumah lagi yang mempunyai tunggakan lebih 15 tahun memaksa MBAS menyita barang dalam rumah tersebut (nilai barangan sama dengan tunggakan cukai pintu).
-- BERNAMA
|
|
|
|