|
|
Berita Tengah
Mahkamah Tambah Hukuman Dua Lelaki Sebabkan Kematian Pelajar Korea
SHAH ALAM, 23 Mei (Bernama) -- Dua lelaki, yang didapati bersalah menyebabkan kematian seorang pelajar kolej warga Korea Selatan lima tahun lepas, terpaksa meringkuk lebih lama dalam penjara selepas Mahkamah Tinggi di sini menambah tempoh hukuman mereka.
Hakim Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap hukuman penjara 12 tahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen Petaling Jaya ke atas pembantu kedai Wong Kok Hoong, 40, dan penjaja Lau Mann Sing, 47.
Beliau memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara 20 tahun mulai hari ini.
Hakim Abdul Alim juga menolak permohonan peguam Hisham Teh Poh Teik untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu.
Terdahulu, rayuan kedua-dua tertuduh untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhi terhadap mereka oleh Mahkamah Sesyen turut ditolak.
-- BERNAMA
|
|
|
|