|
|
Berita Selatan
BN Melaka Senarai 30 Peratus Muka Baru Pada PRU-13
MELAKA, 15 Mei (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Melaka menyenaraikan 30 peratus muka baru untuk bertanding di negeri itu pada pilihan raya umum ke-13.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN negeri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata perkara itu adalah amalan lazim BN Melaka pada pilihan raya umum.
Senarai nama calon terbabit telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk diperhalusi, katanya kepada pemberita selepas melawat kilang Panasonic Industrial Devices Semiconductor (M) Sdn BHd, di Batu Berendam, di sini hari ini.
Mengulas mengenai tindakan Naib Pengerusi DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim meninggalkan parti terbabit selepas dikecam pemimpin DAP susulan kenyataannya berhubung perhimpunan pada 28 April lepas, beliau berkata itu adalah tindakan wajar.
Mohd Ali yang juga Naib Presiden Umno, berkata tindakan Abdul Aziz membuktikan DAP parti kuku besi yang tidak membenarkan anggotanya mempunyai pandangan sendiri.
-- BERNAMA
|
|
|
|