|
|
Berita Sabah
Ekonomi Labuan Berkembang Seiring Dengan Pembangunan Negara
Oleh Jailani Hassan
LABUAN, 9 Mei (Bernama) -- Projek petroleum bersepadu Pulai Daat bernilai RM3 bilion di sini yang sedang dilaksanakan sekarang dijangka dapat membantu menonjolkan dengan ketara landskap ekonomi pulau itu ke peringkat yang lebih tinggi, terutamanya dalam sektor minyak dan gas.
Beserta dengan kelebihan ekonomi yang lain, Labuan, sebagai pusat luar pesisir antarabangsa dan kewangan, sektor minyak dan gas dijangka terus menjadi pemacu ekonomi Labuan dan menempatkannya dalam arena global.
Kedua-dua sektor telah menyumbang kepada ekonomi negara dan mewujudkan jutaan peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan dan ini dijangka terus berkembang terutamanya sebaik sahaja aktiviti hiliran bermula.
Bagi memastikan sektor ini terus berkembang pesat, Kumpulan Pemikir Labuan telah ditubuhkan tahun lepas. Ia diketuai oleh MP Labuan Datuk Yussof Mahal dengan ahli-ahlinya terdiri daripada peneraju industri yang telah banyak menyumbang kepada sektor itu.
"Lebih banyak program telahpun diaturkan dan usaha berjalan lancar untuk menggerakkan kedua-dua sektor dalam landasan yang betul. Kumpulan kerap mengadakan perbincangan mengenai hala tuju pulau ini," kata Yussof dalam temubual dengan Bernama pada Rabu.
Pengeluaran metanol keempat terbesar di Labuan oleh Petronas Methanol Labuan, menyumbangkan berbilion ringgit kepada pendapatan negara, kata beliau sambil menambah yang sektor minyak dan gas turut mewujudkan pelbagai industri sokongan dan hiliran di kepulauan itu dan sekali gus menyaksikan lebih banyak peluang pekerjaan.
Perkembangan sektor minyak dan gas dan kewangan luar pesisir turut menukarkan kepulauan itu menjadi rumah kedua untuk ramai ekspatriat dan ini telah mendorong baik bagi pertumbuhan Labuan, kata beliau.
"Kami mahu peserta tempatan untuk lebih giat terlibat dalam kedua-dua sektor utama ini. Bukan hanya sebagai pemerhati tetapi juga sebagai peserta. Sekarang inipun, kita boleh tengok ramai peserta tempatan diberikan peluang untuk mengetuai unit dan jabatan penting dalam kedua-dua sektor berkenaan," kata Yusoff.
Yusoff yang menafikan dakwaan yang pulau itu telah ketinggalan dari segi pembangunan berkata, Labuan telah dirahmati dengan pembangunan dan menikmati ekonomi rancak serta mempunyai identitinya sendiri dan diiktiraf di rantau ini sebagai penyumbang pendapatan negara.
Yussof, yang mempunyai pengalaman meluas dalam sektor kejuruteraan marin, bagaimanapun berkata, banyak lagi perhatian perlu dititik beratkan untuk terus mentransformasikan kepulauan itu.
"Sebaik sahaja ini direalisasikan, kita akan melihat transformasi pulau ini dan penduduknya dari segi ekonomi dan pembangunan."
"Kita memberi fokus kepada pembangunan modal insan dan rancangan telah dibincangkan untuk mewujudkan latihan perindustrian dalam bidang yang telah dikenalpasti untuk menyumbang kepada sektor minyak dan gas. Ini khususnya kepada warga tempatan," kata beliau.
-- BERNAMA
|
|
|
|