|
|
Berita Utara
Ketua Polis Negara 'Balik Kampung' Esok
KULIM, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dijadual melakukan lawatan ke daerah ini selama dua hari bermula esok, yang merupakan kunjungan sulung beliau ke daerah kelahirannya sejak memegang jawatan itu.
Menurut kenyataan Bahagian Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, program lawatan Ismail dijadual bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat di Masjid Al-Taufiq, Kampung Air Merah di sini petang esok.
Selain itu, Ismail juga dijangka menghadiri jamuan malam bersama penduduk setempat dan kira-kira 800 anggota polis dari daerah ini.
Pada keesokannya, Ismail bersama pegawai kanan polis dari semua daerah di Kedah akan menyertai program bersama masyarakat di Stadium Mini Keladi sebelum berbasikal ke Pasar Besar Kulim untuk bertemu masyarakat.
Pada sebelah petang Ismail dijadual menghadiri pameran anjuran pasukan keselamatan itu yang akan turut memaparkan persembahan payung terjun oleh Komando 69.
-- BERNAMA
|
|
|
|