|
|
Berita Tengah
Isu Pengambilan Tanah Peneroka Felda Sendayan Telah Selesai - MB
SEREMBAN, 24 April (Bernama) -- Isu pengambilan tanah peneroka Felda Sendayan, dekat sini untuk tujuan pembangunan yang berlarutan lebih 10 tahun telah diselesaikan dengan manfaat besar diberikan kepada peneroka-peneroka yang terlibat.
Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu itu diselesaikan selepas kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) mengambil alih projek itu daripada syarikat swasta yang bertanggungjawab dan menawarkan pakej menarik kepada peneroka.
Menjawab soalan Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Selasa, Mohamad berkata manfaat yang diberikan kepada peneroka terlibat adalah wang tunai lebih RM500,000, sebuah banglo dan lot tanah pertanian untuk diusahakan.
"Isu ini bermula apabila syarikat pemaju swasta yang bertanggungjawab membangunkan kawasan itu menghadapi masalah kewangan ketika krisis ekonomi tahun 1998 dan berikutan itu, pemaju tidak dapat meneruskan projek pembangunan sedangkan bayaran deposit sebanyak 10 peratus sudah dibayar kepada peneroka.
"Ekoran itu, projek berkenaan terbengkalai kerana tiada syarikat lain sanggup mengambil alih projek terbabit yang dianggap tidak memberi pulangan setimpal berbanding modal besar yang perlu dikeluarkan.
-- BERNAMA
|
|
|
|