English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Peta Laman | Maklum Balas | Hubungi Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Senarai Berita
Arkib Berita
Pautan
Lain-lain Pautan
Kerajaan Negeri Perlis
Kerajaan Negeri Kedah
Kerajaan Negeri Pulau Pinang
Kerajaan Negeri Perak

Berita Utara

February 18, 2009 15:14 PM

Pembantu Penguatkuasa JPJ Mengaku Tak Bersalah Rasuah

MELAKA, 18 Feb (Bernama) -- Seorang pembantu penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan rasuah pada tahun lepas.

Hazlan Totor, 29, yang bertugas di Stesen Penguatkuasa JPJ Jalan Pedas, Negeri Sembilan, menghadapi tuduhan pertama iaitu meminta suapan wang sebanyak RM700 daripada pemandu lori Aziz Ali sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Aziz yang memandu lori lebih muatan sawit.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Batu 2 1/2 (kilometer 4) Jalan Tampin-Seremban berhampiran kawasan perkuburan Cina Kendung dalam daerah Alor Gajah pada pukul 2.15 petang, 16 Jan 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hazlan dituduh menerima suapan wang tunai RM400 daripada Aziz sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap Aziz yang memandu lori lebih muatan sawit.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3 1/2 (kilometer 5.6) Jalan Tampin-Seremban dalam daerah Alor Gajah pada pukul 3 petang, 16 Jan 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada 14 hari dan tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Terdahulu, Hazlan yang tidak diwakili peguam merayu supaya jumlah wang jaminan yang dikemukakan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka Mohtar Sani, dikurangkan kerana dia memerlukan banyak wang untuk majlis perkahwinannya pada bulan depan.

Bagaimanapun Ahmad Kamar berkata jumlah wang jaminan bagi setiap pertuduhan itu munasabah. Beliau menetapkan 25 Mac depan untuk sebutan semula kedua-dua kes itu.

-- BERNAMA

 

©2014 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan
Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.
Paparan terbaik menggunakan Firefox 3.0 & Internet Explorer 7.0 dalam resolusi 1024 x 768 piksel