|
|
Berita Sarawak
Kementerian Kebajikan Sarawak Mulakan Perkongsian Strategik Dengan CJA Sarawak
KUCHING, 24 Julai (Bernama) -- Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak akan memulakan perkongsian strategik dengan Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) cawangan Sarawak.
Ini termasuk memaparkan kisah kejayaan penerima bantuan untuk memberi motivasi kepada kumpulan sasaran kementerian supaya mereka mampu berdikari, kata menterinya Datuk Fatimah Abdullah.
Beliau berkata wartawan tempatan, menerusi aktiviti yang dianjurkan bersama oleh CJA Sarawak dan kementeriannya, turut memperoleh manfaat dari segi latihan keupayaan, lawatan ke lapangan terutamanya di kawasan luar bandar dan menimba maklumat mendalam tentang situasi serta cabaran yang dihadapi golongan miskin untuk membebaskan diri daripada dihimpit kemiskinan dengan bantuan kerajaan.
"Adalah penting untuk wartawan menulis mengenai sesuatu perkara khusus dengan pengetahuan mendalam, untuk bertanyakan soalan yang tepat kepada orang yang tepat dan di sinilah CJA Sarawak boleh melaksanakan peranan utama dalam mempromosikan kewartawanan beretika dan menghasilkan wartawan berkaliber," katanya pada sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat delegasi CJA Sarawak diketuai pengerusinya, Caroline Jackson.
Fatimah menyambut baik dua aktiviti yang dicadangkan persatuan itu iaitu Pertandingan Kewartawanan Foto CJA yang diadakan sempena Hari Kanak-kanak Antarabangsa dan Bengkel Kewartawanan Ekonomi dengan kerjasama CJA India.
-- BERNAMA
|
|
|
|