|
|
Berita Selatan
Melaka Sasar Selesai Semua Kes Syariah Dalam Tahun Yang Sama Kes Diterima
MELAKA, 1 Jun (Bernama) -- Melaka mensasarkan mampu menyelesaikan kesemua kes jenayah dan mal di negeri ini dalam tahun yang sama kes diterima apabila kompleks Mahkamah Syariah Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini beroperasi sepenuhnya.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kompleks mahkamah yang dibina Jun tahun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada September itu mempunyai enam dewan mahkamah serta berupaya mendengar sehingga 40 kes sehari.
"Pada masa ini kita mempunyai masing-masing tiga dewan di Kompleks Mahkamah Melaka dan Mahkamah Syariah Bukit Peringgit tetapi ia agak kecil dan hanya mampu mendengar kira-kira 20 kes sehari," katanya kepada pemberita selepas melawat kompleks mahkamah syariah itu di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata kedua-dua mahkamah itu kini menerima kira-kira 2,000 kes jenayah dan mal setahun dengan 80 peratus daripada kes berjaya diselesaikan dalam tahun yang sama manakala 20 peratus kes lagi terpaksa ditangguh ke tahun berikutnya atas pelbagai faktor termasuk tidak mampu menampung jumlah kes.
Sementara itu, Mohd Ali berkata pembinaan kompleks mahkamah syariah dengan kos RM38 juta itu kini telah 82 peratus siap.
-- BERNAMA
|
|
|
|