|
|
Berita Selatan
Muhyiddin Mahu Usaha Berterusan Pertingkat Kualiti Pembelajaran Di Sekolah
MUAR, 4 Mei (Bernama) -- Usaha meningkatkan kualiti pembelajaran di sekolah-sekolah perlu dilakukan secara berterusan dan digembleng menerusi kerjasama di antara ibu bapa serta guru-guru walaupun negara memiliki kemudahan pendidikan setaraf negara maju, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana negara telah menyediakan prasarana pendidikan yang terbaik untuk rakyat.
"Kemudahan dan infrastruktur pendidikan di negara ini adalah tinggi, setaraf dengan negara-negara maju, tetapi pada masa yang sama kualiti pembelajaran murid-murid di sekolah sentiasa perlu dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi," katanya.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian semasa menghadiri majlis penyampaian Anugerah Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Kebangsaan Kampung Kemasih, Grisek di sini, pada Jumaat.
Muhyiddin memberikan contoh bagaimana Sekolah Kebangsaan Ulu Ibai, Sarawak yang terletak di kawasan pedalaman dan hanya dilengkapi dengan kemudahan asas persekolahan, tetapi mampu terpilih sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT).
Menurut Timbalan Perdana Menteri, walaupun SK Ulu Ibai itu hanya dilengkapi kemudahan asas persekolahan berbanding sekolah lain, tetapi murid-murid sekolah terbabit mencapai keputusan peperiksaan yang amat cemerlang.
"Apa yang lebih mengagumkan adalah, walaupun SK Ulu Ibai terletak di kawasan pedalaman, tetapi di dalam usahanya menyediakan kualiti pembelajaran terbaik untuk anak muridnya, ia telah menjalin kerjasama dengan sekolah-sekolah di United Kingdom dan Singapura," kata beliau.
Kejayaan yang dicapai oleh SK Ulu Ibai itu dalam menyediakan kualiti pembelajaran yang tinggi terhadap muridnya, telah berjaya dicapai menerusi kerjasama erat di antara guru-guru dan ibu bapa, kata Muhyiddin.
Pada majlis yang sama, Muhyiddin turut menyampaikan peruntukan kewangan sebanyak RM200,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Sekolah Agama Temiang, Pagoh Datuk Samat Aripin.
Sementara itu, pada majlis SME Bank dengan masyarakat Kampung Kurnia Sakti, Kundang Ulu, Muhyiddin meminta penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar supaya mengambil peluang daripada Program Transformasi Luar Bandar yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menerusi program transformasi ini, beliau berkata kerajaan akan menjadikan kawasan-kawasan luar bandar sebagai pusat pertumbuhan ekonomi yang baru.
"Rakyat di kawasan luar bandar perlu mengambil peluang yang tersedia di bawah Program Transformasi Luar Bandar untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka, disamping menambah pendapatan," katanya.
Penduduk luar bandar, kata Muhyiddin, tidak perlu hanya bergantung kepada sektor pertanian, tetapi kini boleh menjadi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan melibatkan diri dalam industri pemprosesan makanan dan sebagainya.
Pelbagai agensi kerajaan seperti SME Bank menyediakan pelbagai program khusus untuk penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar, bertujuan meningkatkan taraf ekonomi dan serta sumber pendapatan mereka, katanya.
Pada majlis itu, Muhyiddin menyampaikan pelbagai peralatan komputer sumbangan SME Bank kepada ketua-ketua masyarakat di Kampung Kurnia Sakti.
-- BERNAMA
|
|
|
|